Thursday, February 17, 2022

DUNIA PUISI / SAJAK


Sejak 1986, saya sudah menulis apa yang dipanggil sebagai sajak. Pada awalnya saya menyangka sajak dan puisi itu sama, rupanya tidak. Ada setengah pengkaji puisi (tak ingat siapa nama penulis buku ini), mengatakan sajak itu lebih rendah kualiti berbanding dengan puisi. Itupun saya baca sekitar 2000, baru saya tahu. Tak mengapalah sekurang-kurangnya saya tahu juga. Saya sebut sajak sahajalah di sini.

Saya masih ingat, ketika itu saya baru tingkatan 2, seorang kawan bernama Munawar antara orang yang menyebabkan dunia penulisan saya bermula. Yalah ketika itu lebih pada syok sendiri, tulis dalam buku latihan dan simpan. Tidak pernah terfikir untuk menghantar ke mana-mana kecuali yang saya sebutkan dalam hantaran sebelum ini. Menjelang 1987, tingkatan tiga saya berjumpa lagi seorang rakan sekelas yang meminati puisi, Razman namanya. Ya, kedua insan inilah yang banyak mempengaruhi saya dalam dunia penulisan puisi. 

Hinggalah ke tahun-tahun seterusnya (1988-1989), saya masih menulis sajak ini dan tidak pernah menghantar ke mana-mana penerbitan, walaupun ketika itu saya ada terdengar rakan yang menghantar dan tersiar. Saya berasa sedikit cemburu ketika itu, namun segala catatan sajak saya masih berkisar dalam buku latihan dan tidak berani menghantar ke mana-mana. 

Bila melanjutkan pengajian di UKM, aktiviti penulisan saya seakan terhenti seketika dan hanya sedikit sahaja karya yang terhasil. Barangkali fikiran saya terlalu fokus pada kerja dan tugasan yang diberikan menyebabkan akal mandul untuk berkarya. (1990-1996). 

Hanya selepas saya bekerja di Kuala Lumpur (setelah sajak pertama tersiar), saya kembali bersemangat (tahun 1998), baru saya menulis semula sajak, kali ini saya memberanikan diri menghantar ke tabloid, media arus perdana dan majalah-majalah untuk menguji diri sendiri dan kekuatan karya. Alhamdulillah, banyak tersiar. Antaranya adalah Mingguan Malaysia, Berita Harian, URTV, Wanita, Mingguan Wanita dan majalah-majalah terbitan Dewan Bahasa & Pustaka, Akhbar Mahasiswa, Warta Seni, Utusan Sarawak, Mingguan Misteri, Mastiara, Majalah Intisari, Sarina serta banyak lagi. 

Pernah juga pada suatu masa menghantar ke DBP untuk dinaskhahkan sebagai kumpulan puisi, tetapi ditolak mentah-mentah atas alasan tiada peruntukan, namun sekitar 2018, harapan saya menjadi kenyataan apabila kumpulan puisi diterbitkan oleh ITBM, berjudul, 'Khauf Seorang Hamba' (boleh beli di sini, sila klik ITBM). Itu sahajalah setakat ini karya sajak saya yang dibukukan. Banyak lagi yang saya masih perap dan tidak diedit. Malas pun ya juga untuk mengeditnya. 

Namun ada satu sajak yang popular, berlegar di alam siber, dinyanyikan serta dideklamasi adalah berjudul, 'SUMPAH ANAK MERDEKA'. Saya tak tahu menahu perkara ini, hinggalah tak silap saya, sekitar 2019/2020 saya mencari semula sajak ini dan nahhhh .... boleh dilihat di sini - SUMPAH ANAK MERDEKA. Sebetulnya ia adalah sajak yang tersiar di majalah Senibeladiri pada 2014. Ada yang mengkreditkan nama saya, ada yang tidak. Tak mengapalah, saya anggapkan ia sebagai amal jariah saya setiap kali menjelangnya bulan kemerdekaan, 31 Ogos ia akan bergema, moga sampai bila-bilalah ia bergema, Insya-Allah. Terima kasih kepada mereka yang memilih sajak ini.  Saya perturunkan di sini sajak tersebut. 

 

SUMPAH ANAK MERDEKA
 
Aku anak merdeka
Bangkit dari persada luka
Berdiri megah di pentas wira
Inginku tebus maruah bangsa
Aku anak merdeka
Terjaga dari ranjang kecewa
Berpaksi gagah di panggung perkasa
Ingin ku bela nasib bangsa
Aku anak merdeka
Harapan nusa dan bangsa
Akan kutentang petualang negara
Yang tegar membuat angkara
Aku anak merdeka
Di hati semangat waja
Di dada penuh satria
Ini Tuah akan membela
Untuk kubalut luka lama
 
2014
Serunai Faqir
Wangsa Maju
 
 Video  boleh didengar di sini  - Sumpah Anak Merdeka (sila klik)

Apapun, biarlah ia jadi pemangkin untuk saya pada masa akan datang. Ya, tentulah saya akan terbit sendiri di bawah label Menara Seni. Bila, saya pun tak tahu. Wuallahua'lam.


No comments:

Post a Comment