Thursday, February 17, 2022

DUNIA GENDANG SILAT - SEJAK 1994

Sejak tahun 1990 bersilat, dua tahun selepas itu saya terpikat dengan bunyian serunai, gendang dan gong sejak kali pertama mendengarnya. Ia bagaikan satu panggilan menyuruh saya mencari asal-usul saya. Dari titih mana saya datang, ke mana pula hala tuju selepas ini. Bagaikan ada bimbingan, saya mula mencari bunyian ini dan berhasil ketika tahun 1994. Pada mula berlatih di gelanggang arwah guru saya, Cikgu Mahfodz, juga seorang guru Silat Sendeng (di Parit Jawa, Muar), saya belajar bermain gong dengan beliau. 

Ketika itu saya mula mengetahui irama-irama lagi dalam aliran Sendeng Malaysia - Tari Inai, Gendang Perang dan Sendayung, barangkali ada lagi, cuma saya tak tahu. Tak lama kemudian, saya bertemu dengan abang Mamat, abang Nazmi (semua berkebolehan bermain gendang), termasuk adik saya dan beberapa rakan lagi.

Ditakdirkan, abang Nazmi ketika itu masih bujang, jadi rumah beliaulah tempat saya mula mengenal serunai. Ketika itu ada serunai yang diperbuat dari buluh dan serombongnya dari daun mengkuang. Memang unik, walaupun suaranya tidak setajam serunai yang diperbuat dari kayu, tapi sebagai amatur, itu sudah cukup mengagumkan saya. (sayang saya tidak menyimpan gambarnya sebagai kenang-kenangan). Kemudian entah dari mana, ada pula serunai Kelantan, ada nali tapi tiada pipit pula. Sudahnya kami menggunakan plastik sahaja.

Jadi, ketika tiada guru yang betul-betul, saya hanya main pakai tiup tanpa sebarang lagu/irama yang tertentu. Seawalnya, saya mendapatkan petua mengambil angin serunai dari abang Abu dan Allahyarham abang Mario (peniup serunai), kemudian berguru lagi dengan beberapa orang guru hingga ke Perak, Pahang dan Kedah kerana kegilaan mencari ilmu bermain serunai dan gendang. 

Sebenarnya agak panjang juga perjalanan saya dalam dunia pergendangan, hinggalah mempelajari gendang silat Utara. Merantau jauh demi ilmu. Ada masa saya ceritakan nanti.

Semua sudah jadi kenangan manis di perantauan, kini menetap di sini, meneruskan latihan seperti yang diamanahkan walaupun tak berapa ramai yang mampu tekal (istiqamah) dalam berlatih/bermain atau memberikan komitmen. 

Kata salah seorang guru saya, Cikgu Ramli, "Ramai budak-budak sekarang ni semangat ubi kayu. Masa suam sedap, bila dah sejuk memang tak sedaplah."

 


No comments:

Post a Comment