Sunday, March 27, 2022

NOVEL 'ROCKERS (2017)' - SEBUAH ILUSI JADI KENYATAAN

Lama juga setelah Raungan Mantera saya tidak mempunyai sebarang karya yang diterbitkan secara fizikal akibat writer's block, stres kerja dan sebagainya yang membuatkan saya tak mampu untuk berkarya. Namun sekitar hujung 2016 (tak silap November), saya didatang oleh seorang kawan yang sudah membuat penerbitan buku sendiri. Saya dimintanya untuk 'mencampakkan' satu karya di situ sebab mereka akan berkampung untuk pesta buku di PWTC pada April 2017. 

Ketika itu saya tak mampu berjanji untuk menulis semula memandangkan agak lama tidak menulis, skil menulis seakan tumpul bila dicuba beberapa kali. Namun fikir punya fikir, saya cekalkan hati untuk menghabiskan satu manuskrip novel lama tersimpan yang sudah beberapa bab saja, tak mampu menulis apa-apa.  FIkir punya fikir, tekan punya tekan diri sendiri, akhirnya terhasillah sebuah novel bertajuk Rockers. 

Inspirasi yang menggerakkan semula untuk saya menulis ini, tak dapat saya nafikan berpunca dari filem terawal arwah Mamat Khalid tentang Rockers. Terlintas juga di hati andainya saya menulis cerita ini, nanti dikata meniru filem arwah. Namun saya fikir, ah aku menulis sebelum filem itu rilis di panggung cuma ia memberi inspirasi, yup - bab ini saya akui. 

Maka terhasillah novel Rockers, sebahagian besarnya adalah berkenaan kehidupan saya sendiri yang membesar di zaman  kemuncaknya irama rock dan metal ketika itu. Dalam darjah (sekolah rendah) lagi saya sudah dengar lagu-lagu Scorpions, Uriah Heep, Deep Purple, Led Zepplin. Kemudian tahun 1985, ketika tingkatan satu, saya mula dengar grup Search. Mula-mula tak masuk kepala sebab terbiasa mendengar irama yang didendangkan dalam bahasa Inggeris, kemudian perlahan-lahan baru saya dapat menikmati irama kumpulan Search ini. 

Tak lama selepas itu, muncul pula album Battle Of The Bands ... haaa yang ini saya mula kenal pelbagai kumpulan rock tempatan, Lefthanded, Rahim Maarof & White Steel, Ella & The Boys dan lain-lain. Dan ketika itu juga saya sudah mula berjinak-jinak dengan Metallica. Mula-mula apa bendalah Metallica ini menyanyi bateri, bateri ...rupanya Battery dalam maksud lain adalah memukul. 

Jadi, begitulah novel ini merupakan rakaman dan pengalaman sendiri tentang dunia seorang rockers di era 80-an. Indah, sesekali terkenang ... rasa syahdu pula zaman itu. Tapi bak pepatah orang tua-tua, masa berlari pantas meninggalkan kita bagai tiada perhentian. 

Oh ya, tentang bahasa penulisan novel ini, memang agak teruk (bukan tak boleh dibaca, boleh) kerana 'kekaratan' yang melampau, maka saya menulis saja tanpa mempedulikan tatabahasa, menggunakan bahasa pasar dalam naratif dan beberapa perkara yang saya 'langgar' kerana matlamat utama adalah untuk menyiapkan sebuah novel tak kira apapun yang terjadi. Huh, begitulah siksanya bila terkena penyakit writer's block, hendaknya janganlah terkena lagi. Namun sahih, kalau lama tak menulis, penyakit ini akan hinggap. Maka sebab itu Alhamdulillah, Allah memberi saya peluang untuk menulis semula; bersyukur amat.

Tentang gaya bahasa novel ini, saya biarkan sahaja, bukan tak boleh ubah tetapi sebagai kenangan peribadi dan juga bukti untuk keluar dari kekaratan lama tak menulis adalah dengan hentam menulis, atau saya istilahkan sebagai 'karya sampah'. Bukanlah cerita ini sampah semuanya tapi lebih pada gaya garapan dan penulisan yang tidak teratur dan huru-hara ... hahaha

Tentang nama yang tercatat di buku - Peniup Serunai ... entahlah tak terfikir sangat, main hentam saja, kemudianlah baru saya menggunakan nama Mitch, bukan Peniup Serunai ataupun Serunai Faqir lagi. Era baru, jadi penggunaan nama Mitch lebih sesuai pada pendapat saya dan nampak ranggi sedikit. Moga nama Mitch ini membawa tuah pada masa akan datang, Amin.

Jadi, memang saya terfikir suatu masa nanti akan terbitkan semula dengan Menara Seni jika ada rezeki lebih, Insya-Allah.
 

Dan ketika ini jugalah saya mengenali sahabat-sahabat lain dalam penulisan melalui Wattpad yang saya sertai sejak 2017 dan kini bersama Menara Seni, Alhamdulillah. 

No comments:

Post a Comment