Tuesday, February 22, 2022

HSKU DALAM KENANGAN

 

Kepada generasi penulis bawah tahun 2010 pasti akan mengenang peristiwa dan kejadian yang manis ini, tambahan pula jika berjaya menyelitkan diri dalam majlis besar dan berprestij ini. Hadiah Sastera Kumpulan Utusan - Exxon Mobil (HSKU).  Termasuk dengan saya, bersyukur kerana berjaya beberapa kali terselit nama dalam majlis tersebut. Yang ini, saya terjumpa sewaktu mengemaskini komputer. 

Jadi, tampal sahajalah di sini sebagai kenangan. Kenangan pernah beberapa kali duduk dalam majlis tersebut. Paling manis apabila duduk sebaris dengan guru saya, Kak Zah yang turut mendapat tempat dalam acara tersebut. Ketika itu masih menggunakan nama pena, Serunai Faqir. Setiap tahun para penggiat sastera dan dunia penulisan ternanti-nanti andainya cerpen mereka tersiar di akhbar Mingguan Malaysia, akan ada majlis ini sebagai penghargaan dan pengiktirafan pada barisan penulis tidak kira baru atau lama. 

Selain penghargaan tersebut, ia menjadi tempat atau wadah menempatkan nama seseorang penulis di pentas penulisan tanah air. Walaupun saya sudah terbit karya di Alaf21, namun penulisan cerpen yang saya gulati sebelum ini berterusan, sehinggalah terhasil dua kumpulan cerpen di bawah label DBP dan ITBM. 

Memang ada sesuatu yang istimewa dalam penulisan cerpen ini, tidak sama dengan penulisan novel yang panjang dan adakala meletihkan. Cerpen lebih ringkas, padat dan menampilkan satu isu yang sesetengahnya ada penyelesaian atau ditinggalkan kepada pembaca untuk memikirkan solusi yang ada. 

Punbegitu, bukan mudah sebenarnya untuk menembusi tembok media besar ini sebenarnya (Mingguan Malaysia & Berita Minggu), setelah beberapa menghantar baru lepas cerpen saya. 

Namun terkini saya perasan, acara HSKU ini sudah ditiadakan (tak silap saya kerana lama tak dengar berita ini lagi) terutama setelah Utusan Malaysia hampir ditutup dua, tiga tahun sebelum ini. Untuk ruangan cerpen pula semakin 'mengecil', jumlah perkataan agak terhad serta (dari dahulu) masih duduk di belakang akhbar berbanding dengan berita lain. Jadi, itulah nilaiannya sastera di dunia realiti. Ia tidak seindah seperti yang dikhabarkan. Namun biarlah saya simpan sendiri sebagai kenangan manis dan bekal serta panduan untuk dititipkan kepada barisan penulis baru sekiranya saya mengadakan bengkel cerpen kelak.

(Ya, sudah agak lama tidak mengadakan bengkel cerpen ini, terakhir mengadakan secara online sejak kobid melanda).

Saya masih menulis cerpen sesekali tapi lebih menumpukan pada novel. Ya, novel ada keseronokannya tersendiri. Cerpen juga ada keunikannya tersendiri. Saya perhati dan perasan, kadang-kadang penulis cerpen tak mampu tulis novel begitulah sebaliknya. Alhamdulillah saya diberikan idea untuk menulis kedua-duanya, termasuk puisi. 

Itulah sedikit kisahnya.

No comments:

Post a Comment