Saturday, February 19, 2022

LAGUKAN SENANDUNG ITU (2007) - DUA TAHUN BARU TERBIT?

Sekitar 2003 (tak silap saya, hah ... tak berapa ingat tarikh dan tahunnya), DBP dengan guru saya, Kak Zah, mengadakan bengkel perolehan novel berasaskan perindustriaan. Rasanya hampir 15 peserta menghasilkan novel masing-masing dengan bimbingan Kak Zah. Saya bersyukur kerana terpilih menyertai bengkel tersebut kerana dari sinilah berhasilnya menulis novel yang sulung. 

Selepas dari bengkel ini, kami berhubungan dalam yahoogroup ketika itu, menghantar bab demi bab kepada Kak Zah untuk semakan dan saringan. Mana yang lambat, pasti dibelasah dengan kata-kata. Ucapan yang sering dituturkan adalah.

"Kamu ini macam guni basah!" (Sebenarnya merujuk pada sikap malas dan lembap). Oh, saya akan ingat itu semua sampai bila-bila. Bimbingannya memang keras dan padu macam batu-bata tetapi di akhirnya, semua novel siap dan Alhamdulillah berjaya diterbitkan.  

Novel saya siap (orang lain saya tak pasti tapi rasa sama juga), 2004 dikhabarkan lulus saringan Kak Zah dan juga pihak DBP (saya masih ingat, siap ada laporan tentang novel saya ini). Tunggu punya tunggu dari 2005, 2007 baru terbit. (Hahaha ....). Ketika 10 naskhah penghargaan sampai ke tangan saya, perasaan teruja sudah hilang kerana merasakan agak lama menunggu ia terbit. Penantian adalah suatu penyiksaan tapi nikmat ....

Namun apa-apa pun, ia adalah kenangan manis yang tak dapat saya lupakan di sebalik kisah yang terjadi. Pokok pangkal kesabaran adalah senjata yang perlu ada pada setiap penulis. Sabar menulis, sabar menanti keputusan editor, sabar menanti sampai ke tangan. 

Pernah saya bertanya apa dibuatnya lama sangat tu? Pelbagai proses sebenarnya yang dilalui (ketika itu) dengan DBP untuk menerbitkan satu-satu tajuk, bukannya mudah. Termasuklah kulit luar, pada mulanya saya mendapati ia kurang sesuai, terpaksa ditukar semula (saya terpaksa bawa gendang sebiji untuk dirakam semula gambar dan kemudiannya menanti pula semula proses penghasilan yang baru).

Maka sebab itu, terkini ... saya terbit sendiri di bawah Menara Seni. Habis cerita ....

Nanti saya cerita lagi tentang novel ini. Yalah pengalaman pertama menulis, tentulah banyak kelemahan yang perlu diperbaiki. Hingga kini, saya masih merasakan banyak yang perlu diperbaiki. 

No comments:

Post a Comment