Friday, February 11, 2022

MAIN BLOG & PERMULAAN MENULIS

PERMULAAN 'bermain' blog ini adalah sekitar 2005, sebelum itu saya sudahpun menulis dan karya-karya sering tersiar sering tersiar di majalah, tabloid dan akhbar. Ia lebih menjurus pada cerpen dan puisi. Hanya selepas masuk bengkel penulisan cerpen dan novel anjuran KEPEZI pada 2003, barulah saya serius menulis karya yang berbentuk panjang (prosaik), di bawah bimbingan Zaharah Nawawi atau lebih mesra dengan panggilan Kak Zah. 

Ketika itu penulisan lebih terarah kerana sudah ada panduan cara penulisan yang sistematik. Terlebih dari itu, saya diajar juga dalam bengkel bagaimana format penulisan cerpen dan novel serta bagaimana menghantarnya. Oleh sebab Kak Zah sangat menitikberatkan hal-hal berkaitan format, teknikaliti dalam penulisan, maka saya jadi sangat teliti tentang perkara-perkara tersebut. 

Walaupun tegas, hasil dari 'air tangan' Kak Zah berjaya menghasilkan ramai penulis-penulis yang berjaya meletakkan nama di persada penulisan dan tentunya dalam dunia sastera tanah air. Dan paling manis, dengan izin Allah, saya berjaya menempatkan nama dalam beberapa acara besar seperti Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-Exxon Mobil (HSKU), Hadiah Sastera Johor Darul Takzim (HSDT), Pertandingan Menulis Cerpen Anjuran Putrajaya Holdings, Pertandingan Menulis Cerpen Berunsur Islam, anjuran YADIM dan DBP dan banyak lagi termasuklah anugerah Karyawan Muda (HSDT). 

Seperkara lagi, catatan di blog tidak hilang atau status akan pergi 'ke bawah' kerana boleh buat penyenaraian catatan dan peristiwa mengikut label yang saya mahukan berbanding dengan lain-lain medsos. Itulah kelebihan blog berbanding dengan medsos terkini, terutama Facebook. Seterusnya capaiannya melalui blog lebih meluas, pembaca tak perlu log in terlebih dahulu untuk melihat 'hantaran-hantaran' kita. 

Jadi, itu sahajalah untuk permulaan, akan datang saya akan catatkan lagi perjalanan penulisan, pengalaman, pendapat dan lain-lain sebagai perkongsian di blog ini. 

Salam manis dan selamat menulis. 


No comments:

Post a Comment