Monday, February 28, 2022

DEWANGGA SAKTI (2007) - TINJAUAN SEMULA

 

Ini adalah salah satu novel saya yang terbit di bawah label PTS. Ketika itu PTS baru saja menubuhkan seksyen untuk penerbitan novel yang dinamakan Fortuna dan beberapa lagi yang saya tak ingat. PTS mengiklankan sesiapa yang berminat untuk menyertai mereka dan saya menyambutnya. Beberapa penerangan ringkas diadakan memperihalkan matlamat dan arah tuju Fortuna. Maka terhasillah novel awal remaja bercorak fantasi purba ini. 

Ia diterbitkan pada tahun 2007, tapi tak pasti perkembangannya hingga beberapa tahun selepas itu saya dihubungi oleh wakil PTS dan menyatakan buku ini akan dijual secara lumsum, jika tidak ia akan dilupuskan.  Sayang, saya tidak dapat membeli kerana keadaan ekonomi tidak begitu stabil, maka saya hanya berdoa agar ia dapat diterbitkan kembali sebab ia ada sambungan kedua. Mujurlah saya belum sempat lagi hantar ke PTS.

Memandangkan PTS ketika itu menjadikan Teori Surah Yusof sebagai pegangan, maka saya berasa tidak selesa. Bukan kerana surah itu akan tetapi ada beberapa persoalan yang bos besar mereka tak mampu menjawab apabila saya ajukan berkenaan teori mereka itu. 

Tak mengapalah, ini semua menjadi pengalaman dan asam garam menambah matang diri saya dalam dunia penulisan. Apapun yang berlaku semua ada hikmah. Justeru, apabila sudah bersama Menara Seni, saya mula berangan untuk menerbitkannya semula beserta dengan sambungan watak utamanya, Jaka Suria yang mencari cempaka biru untuk menyelamatkan ibunya, Insya-Allah. Tambahan pula sudah tiada cetakan mahupun baki novel ini di pasaran.

Sekarang agak juga untuk mendapatkan novel-novel awal remaja berbanding dengan zaman saya dulu. Selalu saya mendapatkan dari DBP, terutama kisah-kisah yang berkaitan dengan silat dan Alam Melayu. 

Begitulah antara kisah saya yang tak seberapa ini. Yang penting terus menulis sampai bila-bila selagi dikurniakan kesihatan dan ilham oleh Allah, Aamin.


No comments:

Post a Comment