CATATAN SEORANG MITCH
Sunday, May 29, 2022
SESI BICARAWARA DI RUANG REHAT DAN BACA PBSKL, PWTC
Monday, May 23, 2022
PRA-TEMPAH (PRE-ORDER) SUDAH DIBUKA SEKARANG! SILAKAN
Penulis : Mitch Rock aka Serunai Faqir
Legasi Pemburu : Buku 1 Steampunk Witchunter, 2022
460 ms, Saiz A5, Kertas Bulky
Dari penulis Mantera Hitam, Raungan Mantera, Memoir Kampung Boy, Ostad Power Metal
Lekas kasi tempah! Boleh tekan di sini
Sila serta nama penuh, alamat, no hp dan resit bayaran.
Sedutan novel :
Seorang lagi sudah ghaib entah ke mana. Aku jadi tak sedap hati. Bagaimana boleh tak perasan seorang sudah hilang dari pandangan? Aku memusing untuk melihat perimeter dan mengawasi sekeliling. Rasa semacam saja pula, tambahan ada angin kencang tiba-tiba menerjah.
Loceng yang dipasang berdentang-denting, mataku terbeliak, telinga bergerak-gerak.
Bunyi seperti orang bercakap-cakap tapi butirnya tidak jelas. Senapang aku acukan ke sisi kiri dan kanan perimeter. Nampaknya dia sudah berada dalam bangunan ini. Hati mula resah dan berdebar sedikit.
Wednesday, May 18, 2022
STATUS 13 : DI PESTA BUKU WTCKL 6 JUN 2022 - BERCAKAP FASAL SWATERBIT - JOM!
"Swaterbit? Kosnya tentu tinggi. Saya tak ada wang yang banyak untuk terbitkan karya sendiri."
.
"Saya ada manuskrip. Rasa macam nak terbit sendiri, tapi nampak macam susah."
.
"Saya nak belajar cara swaterbit, tapi tak boleh nak menghadiri bengkel. Ada banyak kekangan dari segi masa dan kewangan."
.
"Anak saya suka menulis, rasa nak sokong minat dia dengan terbitkan karyanya, tapi tak tahu bagaimana nak mula."
.
"Saya rasa, karya saya bagus. Tapi, tak tahu kenapa sangkut di rumah penerbitan. Nak terbit sendiri rasa ragu dengan kemampuan diri."
.
Adakah anda salah seorang yang berhadapan dengan situasi di atas?
.
Punya karya, punya impian, tapi tak nampak jalan.
.
Jangan sia-siakan hasil karya anda atau orang yang anda sayang. Dapatkan ilmu, dan dengarkan pengalaman bagi merealisasikan impian.
.
Dengan ilmu, persepsi kita akan berubah. Dengan ilmu, kita akan lebih yakin melangkah. Langkah pertama memang sukar, tetapi insya-Allah, bila sudah bermula, akan menapak yakin untuk seterusnya.
.
Buangkan persepsi dan ketakutan terhadap swaterbit. Persepsi dan ketakutan hanya wujud bila tidak pernah tahu proses sebenarnya.
.
Pada 06 Jun 2022, jam 03.00 hingga 04.00 petang, di PBAKL 2022, kami mengambil inisiatif untuk berkongsi secebis ilmu dan pengalaman menerbitkan karya sendiri.
.
llmu dan perkongsian selama satu jam ini, PERCUMA. Jangan sia-siakan peluang yang ada.
.
Anda juga berpeluang bertanyakan soalan secara langsung kepada kami tentang proses swaterbit.
.
Kami menyediakan hadiah berupa novel swaterbit, kepada lima orang terawal, yang melibatkan diri dalam sesi soal jawab.
.
Luangkan masa anda untuk hadir ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, pada tarikh, masa dan tempat sebagaimana di dalam poster bagi ilmu dan pengalaman yang bakal kami kongsikan.
.
Insya-Allah, kita jumpa di sana!
NOVEL LEGASI PEMBURU : BUKU 1 - STEAMPUNK WITCHUNTER
Alhamdulillah syukurlah, kulit luar yang sudah lebih tiga kali dikemaskini dan 'godak', siap juga akhirnya. Terima kasih kepada pereka grafik kulit luar yang bagi saya menariklah. Harapnya orang lain pun suka dengan gambar kulit luar ini. Sebab saya katakan kepada perekanya agar ia kelihatan ala-ala poster filem. Jenuh dan sabar jugalah dia melayan saya ha3.
Hanya menanti layout yang juga diproses hampir dua kali, kemudiannya semakan terakhir untuk melihat lagi apa yang tak kena. Harap tidak terlalu banyaklah yang perlu diperbetulkan. Haaa itulah antara proses untuk menghasilkan novel, tambah saya swaterbit - kena sabar banyak-banyak, bukan mudah tetapi tidaklah pula mustahil.
Kulit luar penuh
Asalnya dihantar kepada satu penerbit tetapi lambat dan tiada tolenrasi untuk kulit luar (penulis tak boleh beri pendapat, melainkan jika diminta), maka terpaksalah saya usaha sendiri untuk menerbitkannya. Fikir-fikir dari novel Memoir Kampung Boy sudah terbit sendiri, maka buat jugalah untuk yang ini.
Apapun hanya menanti siap semakan layout dan nanti saya war-warkan flyer pra-tempahan (pre-order) untuk sesiapa yang berminat dengan karya saya kali ini. Ringkasnya novel ini termasuk dalam genre Sains Fiksyen, bersub genrekan steampunk dan pasca apokalips tetapi ringan. Ringan maksudnya tidak terlalu berat untuk dihadam. Hanya santai-santai dan lebih menghiburkan (harapnyalah). Kalau isinya terlalu berat takut orang mudah jemu dan lambat hadam.
Nanti kita cerita lagi fasal novel ini.
Saturday, May 7, 2022
NOVEL TERBARU - 2022 - AKAN DATANG
Kali ini saya menghidangkan sesuatu yang lain, lama sudah berfikir untuk menulis karya sebegini. Walaupun begitu, saya mengambil pendekatan dan pendapat beberapa orang rakan yang menulis dalam genre sebegini. Memandangkan ia bukanlah suatu genre yang mendapat smabutan besar namun saya mahu mencuba. Akan tetapi, lebih ringan dan tidak terlalu berat kerana saya beranggapan pembaca di sini masih belum bersedia untuk yang lebih 'kental' dan 'likat'.
Ia adalah karya sains fiksyen, gabungan sub genre steampunk dan pasca apokaliptik. Bunyinya seperti aneh, berat dan sukar untuk dihadam, namun hakikatnya saya garapkan dalam bentuk santai.
Apapun, saya biarkan pembaca untuk menilai sendiri karya saya akan datang ini. Pra-tempah akan dibuka tak lama lagi. hanya menanti beberapa proses untuk siap sahaja. Tunggulah nanti ya, sokongan dari kalian pembaca amat diperlukan, terima kasih dan selamat hari raya aidil fitri 2022.
Sunday, March 27, 2022
NOVEL 'ROCKERS (2017)' - SEBUAH ILUSI JADI KENYATAAN
Lama juga setelah Raungan Mantera saya tidak mempunyai sebarang karya yang diterbitkan secara fizikal akibat writer's block, stres kerja dan sebagainya yang membuatkan saya tak mampu untuk berkarya. Namun sekitar hujung 2016 (tak silap November), saya didatang oleh seorang kawan yang sudah membuat penerbitan buku sendiri. Saya dimintanya untuk 'mencampakkan' satu karya di situ sebab mereka akan berkampung untuk pesta buku di PWTC pada April 2017.
Ketika itu saya tak mampu berjanji untuk menulis semula memandangkan agak lama tidak menulis, skil menulis seakan tumpul bila dicuba beberapa kali. Namun fikir punya fikir, saya cekalkan hati untuk menghabiskan satu manuskrip novel lama tersimpan yang sudah beberapa bab saja, tak mampu menulis apa-apa. FIkir punya fikir, tekan punya tekan diri sendiri, akhirnya terhasillah sebuah novel bertajuk Rockers.
Inspirasi yang menggerakkan semula untuk saya menulis ini, tak dapat saya nafikan berpunca dari filem terawal arwah Mamat Khalid tentang Rockers. Terlintas juga di hati andainya saya menulis cerita ini, nanti dikata meniru filem arwah. Namun saya fikir, ah aku menulis sebelum filem itu rilis di panggung cuma ia memberi inspirasi, yup - bab ini saya akui.
Maka terhasillah novel Rockers, sebahagian besarnya adalah berkenaan kehidupan saya sendiri yang membesar di zaman kemuncaknya irama rock dan metal ketika itu. Dalam darjah (sekolah rendah) lagi saya sudah dengar lagu-lagu Scorpions, Uriah Heep, Deep Purple, Led Zepplin. Kemudian tahun 1985, ketika tingkatan satu, saya mula dengar grup Search. Mula-mula tak masuk kepala sebab terbiasa mendengar irama yang didendangkan dalam bahasa Inggeris, kemudian perlahan-lahan baru saya dapat menikmati irama kumpulan Search ini.
Tak lama selepas itu, muncul pula album Battle Of The Bands ... haaa yang ini saya mula kenal pelbagai kumpulan rock tempatan, Lefthanded, Rahim Maarof & White Steel, Ella & The Boys dan lain-lain. Dan ketika itu juga saya sudah mula berjinak-jinak dengan Metallica. Mula-mula apa bendalah Metallica ini menyanyi bateri, bateri ...rupanya Battery dalam maksud lain adalah memukul.
Jadi, begitulah novel ini merupakan rakaman dan pengalaman sendiri tentang dunia seorang rockers di era 80-an. Indah, sesekali terkenang ... rasa syahdu pula zaman itu. Tapi bak pepatah orang tua-tua, masa berlari pantas meninggalkan kita bagai tiada perhentian.
Oh ya, tentang bahasa penulisan novel ini, memang agak teruk (bukan tak boleh dibaca, boleh) kerana 'kekaratan' yang melampau, maka saya menulis saja tanpa mempedulikan tatabahasa, menggunakan bahasa pasar dalam naratif dan beberapa perkara yang saya 'langgar' kerana matlamat utama adalah untuk menyiapkan sebuah novel tak kira apapun yang terjadi. Huh, begitulah siksanya bila terkena penyakit writer's block, hendaknya janganlah terkena lagi. Namun sahih, kalau lama tak menulis, penyakit ini akan hinggap. Maka sebab itu Alhamdulillah, Allah memberi saya peluang untuk menulis semula; bersyukur amat.
Tentang gaya bahasa novel ini, saya biarkan sahaja, bukan tak boleh ubah tetapi sebagai kenangan peribadi dan juga bukti untuk keluar dari kekaratan lama tak menulis adalah dengan hentam menulis, atau saya istilahkan sebagai 'karya sampah'. Bukanlah cerita ini sampah semuanya tapi lebih pada gaya garapan dan penulisan yang tidak teratur dan huru-hara ... hahaha
Tentang nama yang tercatat di buku - Peniup Serunai ... entahlah tak terfikir sangat, main hentam saja, kemudianlah baru saya menggunakan nama Mitch, bukan Peniup Serunai ataupun Serunai Faqir lagi. Era baru, jadi penggunaan nama Mitch lebih sesuai pada pendapat saya dan nampak ranggi sedikit. Moga nama Mitch ini membawa tuah pada masa akan datang, Amin.
Jadi, memang saya terfikir suatu masa nanti akan terbitkan semula dengan Menara Seni jika ada rezeki lebih, Insya-Allah.
Dan ketika ini jugalah saya mengenali sahabat-sahabat lain dalam penulisan melalui Wattpad yang saya sertai sejak 2017 dan kini bersama Menara Seni, Alhamdulillah.
Monday, February 28, 2022
DEWANGGA SAKTI (2007) - TINJAUAN SEMULA
Ini adalah salah satu novel saya yang terbit di bawah label PTS. Ketika itu PTS baru saja menubuhkan seksyen untuk penerbitan novel yang dinamakan Fortuna dan beberapa lagi yang saya tak ingat. PTS mengiklankan sesiapa yang berminat untuk menyertai mereka dan saya menyambutnya. Beberapa penerangan ringkas diadakan memperihalkan matlamat dan arah tuju Fortuna. Maka terhasillah novel awal remaja bercorak fantasi purba ini.
Ia diterbitkan pada tahun 2007, tapi tak pasti perkembangannya hingga beberapa tahun selepas itu saya dihubungi oleh wakil PTS dan menyatakan buku ini akan dijual secara lumsum, jika tidak ia akan dilupuskan. Sayang, saya tidak dapat membeli kerana keadaan ekonomi tidak begitu stabil, maka saya hanya berdoa agar ia dapat diterbitkan kembali sebab ia ada sambungan kedua. Mujurlah saya belum sempat lagi hantar ke PTS.
Memandangkan PTS ketika itu menjadikan Teori Surah Yusof sebagai pegangan, maka saya berasa tidak selesa. Bukan kerana surah itu akan tetapi ada beberapa persoalan yang bos besar mereka tak mampu menjawab apabila saya ajukan berkenaan teori mereka itu.
Tak mengapalah, ini semua menjadi pengalaman dan asam garam menambah matang diri saya dalam dunia penulisan. Apapun yang berlaku semua ada hikmah. Justeru, apabila sudah bersama Menara Seni, saya mula berangan untuk menerbitkannya semula beserta dengan sambungan watak utamanya, Jaka Suria yang mencari cempaka biru untuk menyelamatkan ibunya, Insya-Allah. Tambahan pula sudah tiada cetakan mahupun baki novel ini di pasaran.
Sekarang agak juga untuk mendapatkan novel-novel awal remaja berbanding dengan zaman saya dulu. Selalu saya mendapatkan dari DBP, terutama kisah-kisah yang berkaitan dengan silat dan Alam Melayu.
Begitulah antara kisah saya yang tak seberapa ini. Yang penting terus menulis sampai bila-bila selagi dikurniakan kesihatan dan ilham oleh Allah, Aamin.